Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah yang telah memberi peluang kepada kita untuk terus bersama di dalam Bulan Ramadhan yang berbaki 10 hari lagi...Syukur jua ke hadrat Allah yang terus memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan amal ibadat dalam bulan mulia ini. Tinggal 10 hari lagi...sudah bersediakah kita untuk mendapatkan malam lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan itu.
Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.
Berikut adalah Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari mengenai Malam Lailatul Qadar.
Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah saw bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan solat malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.
Beberapa orang Sahabat diperlihatkan malam lailatul Qadar didalam mimpi pada Tujuh Malam Terakhir. Lalu Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Aku lihat mimpi kamu kena pada Tujuh Malam Terakhir, maka sesiapa yang mencarinya, carilah pada Tujuh Malam Terakhir”.
Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Aku diperlihatkan Malam Lailatul Qadar kemudian aku lupa – atau dilupakan – maka carilah ia pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir. Sesungguhnya aku melihat aku sujud di dalam air dan tanah. Sesiapa yang telah beriktikaf bersama aku (di pertengahan Ramadan) maka datanglah semula (untuk beriktikaf di Akhir Ramadan)”. Para Sahabat ra berkata, “Lalu kami kembali (beriktikaf) dan kami melihat Qaza’ah di langit, datang awan dan turun hujan hingga basah bumbung Masjid yang diperbuat dari pelepah kurma. Solat pun didirikan dan aku melihat Rasulullah saw sujud di dalam air dan tanah, hingga aku lihat kesan tanah di dahinya”.
Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”.
Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”… dari Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Malam Ke 24″.
Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw apabila masuk Sepuluh Malam Terakhir, Baginda saw mengikat ketat pakaiannya, menghidupkan malamnya (dengan ibadah) dan membangunkan isteri-isteri dan ahli keluarganya”.
Mengenai Iktikaf pula, saya perturunkan Hadis-hadis Sahih riwayat Al-Bukhari mengenainya di bawah ini :
Dari Abdullah bin Omar ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan”.
Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan sehingga Allah mewafatkannya. Kemudian selepas itu, isteri-isterinya pula beriktikaf”.
Rebutlah peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar dengan membanyakkkan amal dan ibadat.
No comments:
Post a Comment