Monday, November 30, 2009

JANGAN RAMPAS HAK ORANG..



Salam...kadangkala kita melihat manusia yang hidup penuh dengan nikmat Allah SWT ini, tak pernah cukup-cukup..lalu melakukan perkara larangan Allah seperti mengambil atau merampas hak orang lain tanpa hak/kebenaran. Islam melarang kita dari mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran tuannya. Islam amat menghargai hak peribadi orang lain.


Rasulullah SAW pernah bersabda menegaskan hal ini agar kita menjauhi tabiat suka mengambil hak orang lain walaupun barang tersebut mempunyai nilai yang kecil...apatah lagi kalau yang bernilai besar atau mahal harganya..Perbuatan menggelapkan harta sesuatu kumpulan, jemaah, pertubuhan atau harta negara yang disitilahkan sebagai "korupsi" adalah juga suatu perbuatan yang terkutuk dan berdosa besar



Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim - Dari Abi Umamah Iyas bin Tha'labah al-Harisi r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : 

" Barangsiapa yang mengambil hak milik seseorang dengan sumpahnya (mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah SWT telah mewajibkan neraka baginya dan mengaharamkan syurga untuknya dimasukinya. Kemudian seorang lelaki bertanya: "Kalau hanya barang yang sedikit Ya Rasulullah?.Nabi SAW menjawab walaupun hanya sebatang kayu araak ( kayu yang digunakan untuk bersiwak/bersugi)

 

Oleh itu marilah kita SAMA-SAMA BERINGAT agar kita tidak mengambil hak orang lain tanpa izin walaupun harta itu pada pandangan kita sangat kecil..sedangkan disisi Allah sangan besar azabnya..bayangkan kalau mengambil kayu sugi pun sudah begitu azabnya..bagaimana kalau yang dirampas itu kayu balak..atau lain-lain yang lebih besar..

Wednesday, November 25, 2009

AZAB YANG RINGAN...



Salam..Apabila kita membaca Al-Quran dan Hadis yang menceritakan kepada kita tentang azab dan siksaan Allah SWT terhadap mereka yang kufur dan melakukan maksiat, amat berat siksaan yang akan diterima oleh mereka. Semua siksaan itu menggambarkan kepada kita akan kemurkaan Allah terhadap golongan kufur dan pelaku maksiat ini. Cuba kita lihat hadis ini yang menjelaskan tentang siksaan yang paling ringan bagi pelaku maksiat ketika di neraka.


Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan kepada kita akan siksaan tersebut.Daripada Nukman bin Bashir r.a. berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabada :  " Sesungguhnya seringan-ringan siksaan penghuni neraka pada hari qiamat ialah :


Seseorang yang akan diletakkan dibawah telapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih otak dikepalanya (dari sebab panas kedua bara api tersebut). Dia tidak mengira bahawa ada orang yang lain yang lebih dahsyat siksaan daripadanya, pada hal dialah yang paling ringan siksaannya".

Cuba kita bayangkan kalau itulah siksaan yang paling ringan dan kita tak mampu menahannya..apatah lagi yang lebih berat..oleh itu jauhi maksiat..banyakkan amalan...SAMA-SAMA BERINGAT



Monday, November 23, 2009

SIAPA TEMAN SETIA ?



Sudah menjadi suatu kebiasaan hidup kita memerlukan teman dalam kita melakukan sesuatu perkara, sama  ada perkara tersebut mampu kita lakukan secara bersendirian atau pun berteman. Rasanya lebih senang dan mudah melaksanakan sesuatu perkara itu dengan berteman. Siapa teman kita yang setia. Teman setia adalah teman yang sentiasa bersedia bersama kita baik dalam apa jua keadaan sama ada ketika kita senang atau kita susah.

Dalam satu Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim ada menerangkan dan menjelaskan siapa teman setia kita. Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW telah bersabda : "Ada tiga macam (perkara ) yang menghantarkan jenazah ketika dibawa ke perkeburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua diantaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal menemaninya. Keluarga dan hartanya akankembali sedangkan amalannya akan tetap setia menemaninya ".

Oleh itu beringatlah kita, jangan dihabiskan masa dengan mencari harta semata, peruntukkanlah waktu yang lebih untuk melaksanakan amal ibadat semasa hidup. Semoga mendapat kebahagiaan di akhirat kelak. SAMA-SAMA BERINGAT. 




Thursday, November 19, 2009

SOALAN SUDAH BOCOR ?



dalam satu hadis Riwayat Imam At-Turmudzi telah disebutkan bahawasanya apabila kita dibangkitkan di padang Mahsyar nanti, kita akan ditanya beberapa soalan. Dan Soalan-soalan itu sudah kita tahu, sudah bocor..terpulanglah kepada  manusia yang dikurniakan akal fikiran oleh Allah SWT untuk memikirkan jawapannya dan mempersiapkan jawapannya. Boleh hafal ke jawapan tu? No.no.no..jawapan itu hanya boleh dijawab berdasarkan amalan kita semasa kita hidup..jangan lupa..Marilah kita SAMA-SAMA BERAMAL.


Hadisnya : Daripada Abi Barzah bin Abid al-Aslami r.a berkata,  bersabda Rasulullah SAW;" tidak berganjak kaki seseorang hamba (dihadapan ALLAH SWT pada  hari Qiamat) sehingga selesai ditanya:

1-  Tentang umurnya untuk apa dihabiskan

2-  Tentang ilmunya  kemana digunakan (amal atau tidak)


3-  Tentang hartanya dari mana ia dapat dan kemana dihabiskannya

4-  Tentang tubuh badannya, ke jalan mana digunakan (kebaikan atau 
      maksiat)

Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan semasa hidup ini akan memberi kemudahan kepada kita untuk menjawab soalan tersebut.

Wednesday, November 18, 2009

10 SURAH YANG MUJARAB DARI NABI MUHAMMAD S.A.W





1. SURAH AL-FATIHAH

Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya'Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur'an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur'an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur'an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AT-DHUHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI'AH

Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya'Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya'Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat As ar, insya'Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah : "Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.

5. SURAH AL-KHAUTHAR

Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya'Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KHAAFIRUUN

Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK

Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya'Allah, akan terselamat dari azab kubur..

8. SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : "Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur'an." Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu." Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur'an keseluruhannya. " Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., "Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : "Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat."

9. SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan : "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

10. SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur'an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati

Tuesday, November 17, 2009

MASA SEMAKIN PENDEK RASANYA




sALAM...Hari-hari yang berlalu, adakah anda merasa masa makin panjang atau semakin pendek rasanya..Sudah tentu jawapannya masa dirasakan sehari-demi sehari semakin pendek. Oleh itu apa tunggu lagi...banyakkanlah ibadat..


Hadis Riwayat Imam At-Turmudzi. : Daripada Anas bin Malik r.a berkata: "Rasulullah SAW bersabda; Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".


Masa berlalu begitu cepat dirasakan, belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum diselesaikan.


Kita macam sibuk tetapi tak tahu apa yang disibukkan...semua sibuk kejar dunia semata...Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada perkara yang dapat diselesaikan..Itulah namanya masa makin singkat


Singkatnya masa juga boleh diertikan dicabut keberkatan daripadanya. Dulu kita merasakan banyak benda boleh kita buat dalam sehari, la ni tak taulah..macam tak sempat je memanjang..Inilah petanda dunia dah nak Qiamat..


Waktu yang panjang terasa singkat
     Amal ibadat tak banyak dibuat
Bulan,hari dan saat berlalu cepat
     Tanda dunia nak hampir qiamat


Kenapa kita selalu lalai
     Waktu dibuang tidak dipakai
Masalah ummah berbagai-bagai
     semuanya ini perlu diselesai

Monday, November 16, 2009

NAK SOLAT BERJEMAAH TAPI IMAM TAK ADA...



Apa perasaan anda bila nak solat berjemaah..dah elok-elok ambik wudu', pakai baju elok-elok, alih-alih bila sampai ke masjid imam tiada nak mengepalai solat jemaah..Pernahkah anda mengalami suasana ini ?



Inilah yang pernah disebutkan oleh Hadis nabi Riwayat dari Imam Ibnu Majah : " Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ; "Akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa, mereka tidak dapat memulakan solat berjemaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi Imam".


Apa tinadakan yang mesti dilakukan oleh AJK masjid..untuk melatih imam-imam pelapis yang akan menggantikan tempat Imam-imam ini.?. Apa tindakan Jabatan Agama Islam negeri untuk mewujudkan lebih ramai imam-imam pelapis ini ? Apa pula tindakan kita dalam menangani hal ini...walaupun kini masih belum banyak berlaku hal ini..tetapi sudah ada berlaku..makmum menunggu imam tak sampai-sampai..last-last ntah sape-sape yang jadi imam..Apa puncanya semua ini berlaku..antaranya ialah kerana pusat-pusat pengajian agama sudah tidak lagi menjadi tumpuan untuk belajar..semua nak ke luar negeri..


Lama menanti berdiri tegak
    mereka saling tolak menolak
tak kunjung tiba orang yang warak
    nak jadi imam pada khalayak

 

Thursday, November 12, 2009

PERGI HAJI KERANA ALLAH ?




Apabila masuk sahaja bulan Zulkaedah, Ramai umat Islam mula menumpukan perhatian kepada satu lagi ibadat besar dalam Islam iaitu menunaikan Haji ke Makkah.Yang berkesempatan menunaikan haji hendaknya dengan niat kerana Allah bukan kerana yang lain..jika sekiranya dengan niat yang lain akan menggagalkan kita untuk memperolehi haji yang mabrur.


Berdasarkan hadis riwayat Ibnu al-Jauzi :" Daripada Anas bin Malik berkata Rasulullah telah bersabda : Akan Datang ke atas manusia satu zaman di mana ketika itu orang kaya mengerjakan haji untuk makan angin, orang yang berpendapatan sederhana untuk berniaga, para ulama kerana riyak dan sum'ah, manakala orang fakir pula mengerjakan haji sambil meminta-minta." 


Perhatikanlah sabda nabi ini..mungkin hari ini sudah pun jelas berlaku..SAMA-SAMA betulkan niat untuk ke Makkah.

Wednesday, November 11, 2009

ADAB BERZIARAH




1-  Lakukan ziarah ikhlas kerana ALLah untuk menjalinkan silaturrahim


2-  Ucaplah salam sebelum memasuki rumah. Jika setelah memberi 3 kali salam tetapi tiada jawapan maka 
      hendaklah kita beredar.


3-  Jika menziarahi rumah seseorang, masuklah hanya setelah diberi keizinan.


4-  Sekira menziarahi seseorang dahulukan dengan berjabat tangan.


5-  Perkenalkan teman kita kepada tuan rumah jika kita membawa teman.


6-  masuk dengan mendahului kaki kanan.


7-  Tundukkan pandangan jika kita berada dirumah orang


8-  Jangan melakukan perkara yang tidak disenangi oleh tuan rumah seperti mengintai-ngintai, menyelongkar 
      atau sebagainya.


9-  Jauhi melakukan perkara haram seperti berjabat tangan dengan bukan muhram, mengumpat dan 
     sebagainya.


10- Berbuallah dengan tuan rumah tentang topik-topik yang sesuai tanpa menyentuh isu yang tidak 
      disenanginya.


11- Jangan duduk terlalu lama sehingga menyusahkan tuan rumah. Tempoh bertamu dalam Islam ialah 3 hari.

Monday, November 9, 2009

ASAL DAPAT ...TAK PEDULI DARI MANA



Dunia akhir zaman penuh pancaroba..manusia terpengaruh kuat dengan kehidupan keduniaan..sehinggakan dunialah segala-galanya..untuk mendapat habuan dan kesenangan dunia manusia tidak mengira dari apa jalan pun mendapatkannya...yang penting dapat..


Hadis Nabi SAW riwayat an-Nasa'i.. " Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan hartanya, apakah dari sumber yang halal atau haram ".


Di zaman ketandusan rohani ini, zaman materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. manusia acakar mencakar untuk memperolehi harta, tidak menghiraukan sumber halal haram, yang penting dapat dikumpulkan sebanyaknya menurut kehendak nafsu.


Ramai orang tidak mengira
    Dari mana beroleh harta
Halal dan haram tiada beza
    Asalkan cepat menjadi kaya


Memang nafsu susah diatur
    Cinta dunia susah dilebur
Jangan dibiar hatimu kotor
    Nanti diseksa di alam kubur